Wednesday 11 January 2012

Di Sebalik National Feedlot Corporation


National Feedlot Corporation atau Pusat Fildot Nasional (NFC ) telah ditubuhkan pada tahun 2008 sebagai sebuah syarikat usahasama kerajaan. Syarikat ini di tubuhkan di bawah rancangan Malaysia Ke-9 dalam Pelan Induk Perindustrian 3 (2006-2010) bagi menyokong hasrat Kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan pengeluaran makanan negara terutama pengeluaran daging yang mana masih berada ditahap rendah dengan hanya mencapai 23% Tahap Sara Diri (SSL) pada tahun 2005.. Syarikat ini terletak di L-3A-1, Solaris Mont' Kiara, No. 2, Jln Solaris, Mont' Kiara – 50480 Kuala Lumpur yang mana syarikat ini diterajui oleh Pengerusi Eksekutif iaitu Datuk Dr. Mohamad Salleh Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif NFC iaitu Wan Izran Mohamad Salleh.
Apa yang menarik adalah apabila kontroversi Pusat Fidlot Nasional (NFC) berbangkit selepas Laporan Ketua Audit Negara 2010 pada 24 Oktober 2011, yang mendedahkan keluarga Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ) mendapat pinjaman mudah RM250 juta dan tanah seluas 5000 ekar (2,023 hektar) di Gemas,Negeri Sembilan.
Laporan Ketua Audit Negara 2010 oleh Tan Sri Amrin Buang telah didedahkan kepada umum. Kebiasaan integriti Laporan Ketua Audit Negara tidak bias, bebas daripada pengaruh politik, tiada unsur prejudis kepada mana-mana pihak. antara beberapa pendedahan laporan Ketua Audit Negara 2010 yang telah berjaya menarik perhatian umum setakat ini ialah :
1) 19 daripada 47 syarikat-syarikat (40%) yang dikawal oleh Kementerian Kewangan mengalami kerugian pada tahun 2009 hampir mencecah RM0.71 bilion (RM710,000,000). Oleh kerana 28 syarikat lain berkenaan mencatatkan keuntungan sebelum cukai berjumlah RM93.06 bilion, keuntungan sebelum cukai keseluruhan 47 syarikat tersebut adalah berjumlah RM92.35 bilion yang turun yang menunjukkan penurunan sebanyak RM3.83 bilion berbanding dengan keseluruhan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM96.18 bilion pada tahun 2008. Antara syarikat-syarikat yang menyaksikan prestasi cemerlang, adalah Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Bank Pembangunan Malaysia Bhd dan syarikat hartanah Cyberjaya, Cyberview Sdn Bhd.Tiga syarikat yang mencatatkan kerugian terbesar adalah syarikat pengendali pengangkutan awam Syarikat Prasarana Bhd (Prasarana), Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dan Aset Global Network Sdn Bhd.
Kontroversi ini telah memangil ramai pihak untuk tampil memberi keterangan dan menjawab pelbagai persoalan yang timbul.
Pada 31 Oktober 2011, Kenyataan pertama oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar di lobi Dewan Rakyat, bahawa pinjaman berjumlah RM250 juta kepada NFC belum disalurkan sepenuhnya.
Pada 1 November 2011, Kenyataan kedua dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat yang menyebut bahawa setakat 31 Julai 2011, hanya RM181.9 juta daripada geran dan pinjaman berjumlah RM250 juta telah disalurkan kepada National Feedlot Corporation Sdn Bhd.bagi membiayai pembangunan kandang, bangunan, kilang baja, kilang makanan dan sebagainya.
Pada 10 November 2011, AJK pusat PKR dan ketua koordinator Jingga 13, Fariz Musa telah membuat laporan mengenai pendedahan salah laku pecah amanah di NFC, di pejabat SPRM Shah Alam dan berharap PDRM telus dalam menyiasat di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan iaitu pecah amanah oleh perkhidmat awam.
Pada 14 November 2011, Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli mengecam penjelasan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin kononnya pembelian kondominium/apartment One Menerung di Bangsar bernilai RM9.8 juta menggunakan dana Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC). Keputusan melabur dengan membeli kondo tidak tepat kerana Jabatan Perkhidmatan Penilaian dan Hartanah mendapati bahawa pada 2010 , 66,328 unit kondominium tidak terjual. Hampir 20 % kondominium bernilai RM1 juta atau lebih yang dibina pada 2011 tidak terjual, bernilai hampir RM549 juta. Khairy mendakwa kondominium itu sebagai pelaburan yang paling selamat.
Pada 14 November 2011, Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, mengaklasifikasikan kes ini di bawah kesalahan Kanun Keseksaan dan bukannya satu kesalahan di bawah bidang kuasa SPRM sepertimana termaktub dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM). Lembaga Penasihat dan Pencegahan Rasuah meminta SPRM tidak menjalankan siasatan selain daripada kesalahan di bawah ASPRM 2009. Hanya Polis Diraja Malaysia yang boleh menyiasat. PKR mendakwa NFC telah membayar RM10 juta bagi membeli kondominium milik National Meat and Livestocks Corporation Sdn Bhd (NMLC). Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail mendakwa RM9,758,140 telah dipindahkan dari akaun NFC di CIMB cawangan di Taman Tun Dr Ismail kepada Bandar Raya Developments Berhad pada 2 Disember 2009 sebagai bayaran penuh hartanah itu.
Pada 15 November 2011, Tun Abdullah Ahmad Badawi menegaskan tidak wajar meminta Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil meletakkan jawatan berhubung isu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC), yang dilaporkan gagal, memandangkan anggota Kabinet itu tidak terlibat dalam projek tersebut. Beliau berkata “Kalau Shahrizat jadi CEO bolehlah (tanya) tapi sekarang dia tidak terlibat dan sangat tidak adil melabelkan Shahrizat terlibat,”. The Malaysian Insider difahamkan NFC mula beroperasi pada 2008 semasa pentadbiran Abdullah dan Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika itu memegang jawatan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.
Pada 16 November 2011, PKR hari ini mendedahkan beberapa transaksi yang dilakukan National Feedlot Corporation (NFC) bagi mengukuhkan bukti bahawa syarikat itu disalahguna untuk kepentingan keluarga dan ahli-ahli politik Umno BN. Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution hari ini menunjukkan senarai empat transaksi yang dilakukan dari tahun 2008 hingga 2009. Pada awal penubuhan NFC 2008, syarikat yang dikaitkan dengan suami dan keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil itu membiayai perbelanjaan Shahrizat sebanyak RM26,400. "Jika benar isu NFC tiada kena mengena dengan Shahrizat, sewajarnya beliau langsung tidak ada urusan dengan syarikat ini apatah lagi menggunakan wang NFC untuk membiayai perbelanjaan beliau," kata Saifuddin. Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang turut berkata, NFC membayar sejumlah RM398,640 kepada dua pengarah NFC,  Datuk Dr. Mohamad Salleh Ismail dan Wan Shahinur Izran Mohamad Salleh pada 2009 sebagai bayaran sewa pejabat NFC di Mont Kiara."Tindakan menggunakan wang NFC dari dana RM250 juta untuk mambayar sewa kepada pengarah-pengarah NFC perlu juga dijawab Shahrizat," katanya. Selain itu, NFC mendermakan lembu-lembu yang dibiayai menggunakan wang rakyat kepada Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Mansor pada 1 September 2009 bernilai RM5,281.87 dan Adun di Negeri Sembilan, Yunus pada 30 November 2009 bernilai RM2,640.93."Kalau isu yang serupa melibatkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim sebelum ini, SPRM juga perlu tangkas menyiasat NFC, Datuk Shaziman dan YB Yunus kerana mendapat lembu yang dibiayai rakyat," katanya lagi.Saifuddin juga mendedahkan, NFC menjual lembu secara hutang kepada pimpinan Umno seperti Datuk Seri Zulhasnan Rafique bernilai RM70,000 pada tahun 2008, yang hanya dibiayai pada tahun 2009..Selain itu kata Saifuddin, sejak menerima pinjaman mudah daripada kerajaan berjumlah RM250 juta, NFC tidak pernah sekali pun membayar balik kepada kerajaan sama ada pembayaran pinjaman pokok atau pun faedah 2 peratus yang dikenakan."Jika ia benar-benar sebuah pinjaman seperti yang didakwa pimpinan Umno, maka sekurang-kurangnya NFC perlu membayar RM5 juta setahun kepada kerajaan dalam bentuk faedah pinjaman," katanya.
Pada 3 December 2011, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan penyelewengan melibatkan RM250 juta bagi projek lembu adalah jumlah kecil bagi pemimpin-pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN). Ini kerana katanya, mereka sudah biasa dengan penyalahgunaan kuasa duit rakyat melibatkan jumlah lebih besar seperti skandal Scorpene. Anwar turut menemplak amalan nepotisme Umno BN yang memberikan pelbagai peruntukan kepada kaum keluarga Menteri dan pimpinan Umno.“Apa istimewanya anak menteri untuk dapat jawatan tinggi (dalam NFC), ingat dia nak pegang lembu?” kata Anwar. Setakat ini operasinya mengalami kerugian tetapi pada masa sama NFC didedahkan membeli dua buah kondominum mewah di Bangsar, membiayai percutian keluarga Shahrizat ke luar negara, dan pakej umrah. Terbaru, NFC didedahkan membeli kereta Mercedes berharga RM534,622 serta dua bidang tanah berharga RM3,363,507 di Putrajaya.
Pada 3 December 2011, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar mendakwa tiada unsur pecah amanah atau penyelewengan dalam penggunaan dana untuk NFC dalam masa yang sama Datuk Seri Khalid dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata siasatan terhadap projek NFC masih diteruskan.
Kajian oleh Pengarah Strateginya Mohd Rafizi Ramli mendapati keseluruhan RM250 juta pinjaman sebenarnya telah disalurkan sepenuhnya ke dalam akaun NFC menjelang 31 Mac 2009.Rekod kewangan NFC menunjukkan RM130 juta telah diambil dalam tahun 2008. Pada 31 Mac 2009, NFC membuat ‘drawdown’ kedua berjumlah RM120 juta yang dimasukkan terus ke akaun Maybank milik NFC. Pada 6 Mei 2009, NFC memindahkan wang daripada pinjaman ini berjumlah RM116 juta ke dalam akaun deposit tetap milik NFC di Public Bank Berhad. Penyata kewangan NFC yang difailkan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan badan-badan lain menunjukkan NFC mendapat keuntungan faedah dari simpanan deposit tetap berjumlah RM666,952.96 bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2009 (penyata kewangan terkini yang diaudit dan difailkan).
Jawapan Najib dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato' Seri Noh Omar terhadap isu yang yang dibangkitkan Pengarah Strategik Keadilan, Rafizi Ramli jelas mahu memperbodohkan rakyat. Shahrizat pula sehingga kini gagal menjawab bagaimana suami dan anak-anaknya, yang tiada pengalaman dalam bidang ternakan boleh diberi kepercayaan dan modal (pinjaman RM250 juta, geran RM6.1 juta dan 5,000 ekar tanah) sebegitu besar.
Dari jawapan yang diberi, ada 2 kelemahan syarat yang kerajaan perlu perketatkan
1)        Sasaran tahunan projek
Laporan Ketua Audit Negara menyatakan projek itu gagal mencapai sasaran pada tahun 2010. Sementara Menteri Pertanian dan NFC pula kata yang sebaliknya projek itu berjaya. Masalah ini timbul dari PERBEZAAN INTERPRETASI mengenai sasaran tahunan projek (production target). Laporan Ketua Audit Negara saya rasa menggunakan sasaran jumlah lembu DISEMBELIH setiap tahun, sementara Menteri Pertanian dan syarikat NFC menggunakan sasaran jumlah lembu DIBELA setiap tahun.
2)        Syarat pinjaman RM250 juta
Kita diberitahu melalui laporan media bahawa Syarikat NFC hanya perlu membayar balik pinjaman RM250 juta itu 3 tahun selepas pinjaman itu telah diberikan sepenuhnya (makna 3 years after `full drawdown of the loan'). Kontrak projek adalah selama 30 tahun. Ini bermakna kalaulah kerajaan sudah beri kepada syarikat NFC itu  RM249j uta pada tahun pertama projek, ADA KEMUNGKINAN syarikat itu akan cuba melengah-lengahkan sebahagian kecil kerja projek selama 29 tahun supaya baki pinjaman lagi RM1 juta itu cuma diberi di dalam tahun ke-29. Syarikat tidak perlu membayar balik pinjaman atau dikenakan faedah terhadap pinjaman itu selama 29+3 tahun! Pada tahun ke-32, baru syarikat itu perlu mula bayar balik. Pada masa yang sama, sebahagian dari pinjaman berjumlah RM249 juta itu, syarikat NFC boleh melaburkan (seperti beli condo) untuk mendapat keuntungan selama 29 tahun, tanpa dikenakan apa-apa bayaran balik atau faedah?. Lagi satu, kita difahamkan juga bahawa `repayment schedule' untuk pembayaran balik pinjaman itu tiada diberi oleh kerajaan kepada syarikat itu. Kalau pasal pinjaman dan pembayaran, tidakkah ini melibatkan Kementerian Kewangan. Silapnya isu ini dari awal lagi tidak perlu dipertahankan oleh kerajaan melalui Menteri Pertanian di Parlimen. Beliau sepatutnya tidak menyangkal laporan Ketua Audit Negara mengenai projek itu. Syarikat NFC yang harus bertanggungjawab jika ada kelemahan projek seperti yang dinyatakan di dalam laporan Ketua Audit Negara.

No comments:

Post a Comment